Katanya, beliau membuat keputusan itu atas dasar sayang kepada pasukan bola sepak Kelantan yang dianggap mempunyai potensi besar meskipun bergelut dengan pelbagai masalah, terutama dari segi kewangan sejak akhir-akhir ini.
“Saya fikir apabila sampai satu titik di mana kita tidak mampu, kita kena berlaku jujur sebab memimpin ini amanah orang ramai,” katanya selepas program Jelajah Penerangan Pimpinan Bersama Akar Umbi UMNO peringkat negeri di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan gesaan barisan Exco Kafa agar Annuar melupakan hasrat untuk meletak jawatan kerana khidmatnya masih diperlukan.
Menurut Annuar, beliau tidak mahu berpura-pura kerana sayangkan jawatan, malah menegaskan keputusan berundur bukan disebabkan merajuk, sebaliknya mahu memberi laluan kepada individu lain yang lebih layak.
“Saya lihat Kelantan ada potensi besar asalkan ada orang sanggup buat macam negeri lain buat. Ada pemimpin negeri seperti Menteri Besar, Tengku Mahkota dan orang-orang berkedudukan dalam negeri bantu keluar dana.
“Saya sebagai Ahli Parlimen biasa tidak mampu dan kami mula berhutang. Apabila pemain merayu (pembayaran gaji) apa boleh saya buat apabila tiada tunai di tangan, wang berjuta-juta bukan boleh dipinjam daripada kawan-kawan,” ujarnya.
Beliau menganggap cukup baginya tempoh 10 tahun memegang jawatan tersebut dan Kelantan setakat ini masih mampu mencapai keputusan membanggakan dengan menduduki tempat empat teratas dalam Liga Super selain menjuarai Piala Presiden tahun ini.
Katanya, beliau tidak sanggup melihat Kelantan jatuh ke Liga Perdana sekiranya terus memegang jawatan tersebut.
“Perkara ini sudah lama saya tanggung, kawan-kawan lain berlatih secara percuma sedangkan saya perlu bayar apabila pasukan berlatih di Stadium Kelantan.
“Saya tak cerita penderitaan saya. Bila negeri lain bermain di stadium sendiri, percuma sedangkan saya perlu bayar berpuluh ribu sekali bermain kerajaan negeri lain beri peruntukan kewangan kepada pasukan negeri namun pasukan Kelantan tak dapat walau satu sen, semua saya kena cari sendiri.
“Dahulu kos hanya RM5 juta hingga RM6 juta saya boleh cari tetapi pemain sekarang mahu gaji mahal. Mana ada gaji RM20,000 sekarang kebanyakannya RM40,000 hingga RM50,000 sebulan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa kecewa bila orang mula tidak faham situasi yang dialami dan timbul fitnah mempersoalkan berkaitan kewangan.
“Ramai orang tidak faham dan mula timbul fitnah, mereka persoalkan duit pergi ke mana?
“Sedangkan dalam bola sepak awak boleh hitung dengan tangan sahaja. Kalau satu perlawanan 10,000 orang datang stadium, harga tiket RM15 maka dapat RM150,000, ditolak cukai, itu ini bersih dapatlah RM100,000.
“Itu kalau bermain di tempat sendiri, di gelanggang lawan tak dapat duit. Kalau sebulan main tiga kali di tempat sendiri dapat RM300,000, semusim darab 11 jadi RM3.3 juta,” jelasnya.
Katanya, beliau hanya memperoleh RM1 juta daripada Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedangkan perbelanjaan sebenar adalah RM16 juta.
Dalam pada itu, Annuar berkata, beliau tidak perlu mengemukakan hasratnya kepada Jawatankuasa Pengurusan Kafa kerana jawatan itu bukan dilantik oleh jawatankuasa berkenaan.
”Memang ada wakil Kafa berjumpa saya semalam untuk berbincang mengenai perkara ini. Secara jujurnya saya sayangkan bola sepak Kelantan dan mahu melihat pasukan ini terus cemerlang pada masa akan datang.
“Sebab itu saya ingin beri peluang kepada orang lain. Biar mereka rasa sendiri bagaimana nak uruskan pasukan bola sepak dengan dana yang terhad,” katanya.