Bagaimanapun Serritslev berkata, dia tidak begitu berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan, Alongkron Feemuechang yang dilihat lebih kerap memberi tendangan percuma kepada tuan rumah selain kurang bersetuju dengan sepakan penalti Harimau Malaysia.
“Bagi saya, pertemuan tadi seimbang. Kebiasaannya saya tidak mengulas mengenai mutu pengadil perlawanan namun jujurnya kami tidak menerima fair play.
“Saya tahu alasan ini mungkin kedengaran tidak bagus namun saya tetap mengiktiraf kemenangan Malaysia.
“Apa yang saya maksudkan anda perlu perhatikan betul-betul penalti yang Malaysia peroleh dan jumlah tendangan percuma mereka sangat banyak. Bola sepak adalah sukan yang membenarkan pemainnya melakukan tolakan dari bahu ke bahu.
“Saya tidak boleh cakap kami ada banyak peluang dan layak untuk menang namun dalam bola sepak anda boleh sentuh satu sama lain. Jika pasukan tidak biasa dengan perkara seperti ini mereka tidak akan pergi jauh.
“Namun pasukan Malaysia kali ini bermain lebih baik berbanding Jun lalu, saya tidak meragui perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Shah Alam hari ini.
Malaysia tewas 2-0 kepada PNG pada pertemuan terakhir mereka dalam Jelajah Oceania, Jun lalu.
Dalam pada itu, Serritslev juga berkata, persiapan yang kurang rapi menjadi punca kekalahan mereka dalam dua perlawanan persahabatan.
Empat hari sebelum bertemu Malaysia, PNG mengadakan aksi persahaban menentang pasukan No. 1 Asia, Iran dan mereka dibelasah 8-1 di Stadium Shah Alam.
“Pada Jun lalu fizikal kami lebih baik kerana kami baru selesai menyertai Piala Negara-Negara OFC.
“Sejak perlawanan 17 Jun lalu (bertemu Malaysia), kami tidak mempunyai sebarang aksi kompetitif, jadi persiapan agak terhad.
“Kami ada banyak peluang ketika lawan Malaysia Jun lalu, namun ia tidak berlaku hari ini. Mengenai kekalahan kepada Iran saya tetap bangga kerana berjaya menjaringkan gol, mereka pasukan yang bagus,” katanya lagi.