Tambah beliau, pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee dan anak-anak buahnya diharap bersiap sedia menghadapi cabaran yang lebih besar.

Katanya, ini berikutan Vietnam yang juga juara 2008 itu telah mempamerkan corak permainan pantas ketika menewaskan tuan rumah Myanmar 2-1 dalam satu lagi perlawanan.

“Umum tahu vietnam antara pasukan pilihan dan mereka bermain dengan rentak yang sangat laju semasa menentang Myanmar.

“Jadi saya harap kita memperoleh sekurang-kurangnya satu mata atau kalau boleh tiga mata daripada perlawanan menentang vietnam dan pasukan tuan rumah bagi memudahkan laluan ke separuh akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Jelajah Kampus Rakan Muda Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kampus Sultan Abdul Jalil, di sini hari ini.

Menurut beliau, sewaktu pertemuan menentang Kemboja pasukan Harimau Malaysia terpaksa bangkit dua kali sebelum menang tipis 3-2 dalam perlawanan pembukaan itu.

“Saya melihat barisan pertahanan kita mestilah diperkuatkan lagi kerana ketinggalan satu gol sebanyak dua kali bukanlah perkara mudah sekiranya berdepan dengan pasukan lebih hebat.

“Sasaran kita masih lagi ke peringkat akhir dan berdasarkan kepada perlawanan semalam kita mempunyai peluang.

“Saya ucapkan tahniah kepada pasukan Harimau Malaysia. Ia satu kemenangan yang walaupun sukar dicapai, tetapi akhirnya dapat disempurnakan juga,” katanya.

Pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF di Stadium Thuwunna, Malaysia menewaskan Kemboja 3-2 bagi mengutip tiga mata berharga sementara Vietnam menang tipis 2-1 ke atas Myanmar di venue yang sama.