Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah (gambar) berkata, persiapan The Red Warriors ketika ini untuk menghadapi persaingan 2017 terencat ekoran ketiadaan penaja utama yang sanggup membantu pasukan tersebut ketika ini.
“Untuk bersaing dalam Liga M, Kafa memerlukan perbelanjaan yang cukup besar untuk menggerakkan pasukan kerana melibatkan semua aspek termasuklah belanja pengurusan dan membayar gaji pemain.
“Jadi Kafa sedang memikirkan cara-cara untuk mencari dana bagi mengerakkan pasukan untuk saingan Liga M 2017 nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Afandi memberitahu, tanpa dana yang cukup berkemungkinan besar The Red Warriors terpaksa mengharungi musim sukar nanti.
“Setiap musim Kafa memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta untuk membolehkan The Red Warriors bersaing dalam Liga M bersama pasukan-pasukan lain,” ujarnya.
Tambahnya, hingga kini 22 pemain telah menandatangani kontrak untuk bersama pasukan musim depan tetapi Kafa masih menunggu bantuan pihak tertentu mendapatkan ketua jurulatih.
Dalam perkembangan lain, Afandi berkata Kafa mengalu-alukan kesediaan mana-mana pihak untuk membantu atau mengambil alih kepemimpinan badan induk isu selepas Tan Sri Annuar Musa bertegas melepaskan jawatan Presiden Kafa yang disandangnya selama lapan tahun.
Usaha Exco Kafa memujuk Annuar agar membatalkan keputusannya juga menemui kegagalan.