Mohd. Faiz tidak perlu menjadi sehebat bintang bola sepak dunia, David Beckham, Lionel Messi ataupun Cristiano Ronaldo, namun, Ahmad Shahrul amat berharap pemain itu dapat terus memperbaiki kualiti sepakannya dan berupaya menjadi seorang pemain yang konsisten.

Bekas kapten Perak itu juga mahu melihat jaringan Mohd. Faiz itu tercalon sebagai tiga jaringan terbaik dalam anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 dan sekali gus mengharumkan nama Malaysia di arena bola sepak antarabangsa.

“Tidak dinafikan jaringan itu boleh diibaratkan satu dalam 1,000. Ia gol ajaib dan sukar untuk mengulangi semula. Mungkin ia memerlukan beberapa tahun lagi untuk kita melihat jaringan seperti itu dilakukan pemain lain.

“Tetapi bagi saya jika Faiz mampu membuktikan selepas ini dengan meletakkan kadar peratusan kejayaannya sekitar 80 hingga 90 peratus setiap kali menyempurnakan sepakan bebas, maka saya percaya sekiranya dia memenangi anugerah itu, kejayaan tersebut akan lebih membanggakan.

“Saya harap Faiz terus meningkatkan tahap permainannya dan asah bakatnya menjadi pakar sepakan bebas terbaik negara yang mampu memastikan setiap kali sepakan diambil peratusan tinggi untuk mendapat gol.

“Tidak perlu sehebat Beckham, Ronaldo ataupun Messi, tetapi cukup untuk memastikan setiap kali sepakan bebas diambil peratusan tinggi untuk bola menerjah ke jaring,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Bekas pemain tengah itu turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama mengundi jaringan yang dilakukan Faiz bagi memberi peluang cerah untuk pemain Harimau Kumbang itu memenangi anugerah berkenaan.

Pada 16 Februari lalu, Faiz, meledakkan gol yang memukau menerusi sepakan bebas selepas tendangannya dari jarak 30 meter melambung dan melencong sebelum menerjah gawang lawan.

Jari­ngan cantiknya itu telah tersenarai dalam 10 calon akhir anugerah Puskas FIFA dan bakal disampaikan dalam majlis Ballon d’Or di London pada 9 Januari tahun depan.

Peminat bola sepak tanah air boleh mengundi gol jaringan Mohd. Faiz melalui laman web www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/ untuk tersenarai dalam tiga pencalonan terbaik anugerah tersebut sebelum tarikh tutup undian pada 2 Disember ini.