GRAEME SOUNESS memilih Diego Costa dan Eden Hazard sebagai pemain yang mampu membantu Chelsea meleburkan impian Liverpool dalam perebutan gelaran juara Liga Perdana Inggeris musim ini.

Kelab Merseyside itu, yang kali terakhir menjadi juara England pada 1990 sebelum bermula­nya Liga Perdana Ing­geris, kini meng­huni anak tangga kedua dengan berada satu mata di belakang pendahulu Chelsea.

Liverpool menumpaskan Sunderland 2-0 hujung minggu lalu namun kemena­ngan tersebut di­bayar dengan kecederaan pemain perancang Philippe Coutinho yang me­ngalami masalah serius di bahagian buku lali dalam perlawanan tersebut.

Pemain kebangsaan Brazil itu telah menjaringkan lima gol musim ini namun bekas pemain tengah Scotland, Souness berkata Liverpool memiliki individu yang mampu mengisi kekosongan itu.

“Sudah tentu memberi tampa­ran hebat. Saya pernah menjadi kapten di sana dan turut dianggap pemain terbaik, namun apabila saya tidak dapat bermain da­lam 10 perlawanan, mereka me­nang kesemuanya.

“Sewaktu musim ini bermula, saya menjangkakan mereka akan menamatkan persaingan dalam kelompok empat teratas, tetapi kini saya meletakkan sasaran le­bih tinggi.

“Buat masa ini kita belum masuk bulan Disember lagi. Dulu, Liverpool tewas kepada Manchester City dalam perlawanan pada Boxing Day dan menduduki anak tangga ke-12 liga, semua orang menafikan peluang kami namun kami masih menjuarainya.

“Jadi untuk memilih siapa yang akan menang pada ketika ini amat sukar. Tetapi dalam kala­ngan calon-calon, Chelsea adalah yang menakutkan bagi saya.

“Mereka tidak memerlukan penguasaan bola untuk menang. Tetapi Liverpool buat begitu, Manchester City buat begitu, Arsenal buat begitu. Chelsea sebaliknya menggunakan pendekatan pragmatik. Mereka sukar untuk dikalahkan.

“Mereka dilihat seakan tahu apa yang perlu dilakukan dan Diego Costa dan Eden Hazard adalah ancaman terbesar. Ke­semua itu boleh berubah pada bulan depan,” kata­nya.