Meskipun kedudukan undian tidak dipaparkan kepada umum, video pencalonan pemain Pulau Pinang itu dalam laman media YouTube oleh FIFATV hingga pu­kul 6 petang hari ini menunjukkan jaringan pemain itu menarik minat 1.3 juta penonton sekali gus mendahului sembilan pemain lain dalam senarai awal pencalonan untuk jaringan tercantik tahunan itu.

Jika jumlah itu diambil kira maka peluang untuk pemain kelahiran Kedah itu berada dalam senarai tiga calon akhir yang akan diundang ke majlis Balon d’Or Persekutuan Bola­sepak Antarabangsa (FIFA) pada awal tahun depan sangat cerah.

Pengumuman pemenang Anu­­gerah Puskas akan diumumkan di Zurich, Switzerland pada 9 Januari 2017, bersama-sama pemenang anugerah Pemain Ter­baik Dunia Tahunan (Anuge­rah Balon d’Or) lelaki dan wanita.

“Boleh dikatakan satu mimpi kerana saya tidak pernah mengimpikan kejayaan seperti ini. Saya sebenarnya berdebar menanti keputusan undian dan jika berjaya menempatkan diri dalam tiga calon terbaik, pas­tinya ini satu pengalaman paling indah dalam hidup saya.

“Pertama kali kalau ke sana (Zurich), saya mahu jumpa (Christiano) Ronaldo. Saya memang meminatinya sejak dia bersama Manchester United dan kini Real Madrid. Dia pemain terbaik dunia dan mempunyai keunikan dalam melakukan sepakan bebas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Pemain kebangsaan Portugal, Ronaldo akan turut berada dalam majlis itu setelah tersenarai bagi anugerah Pemain Terbaik Lelaki FIFA 2016.

Bilangan tontonan itu ketika ini menyaksikan Mohd. Faiz meninggalkan jauh sembilan calon lain termasuk dua bintang Barcelona, Lionel Messi dan Neymar di mana video sepakannya disaksikan 1,305,065 kali, peningkatan sebanyak 35,236 berbanding semalam.

Jaringan pemain Corinthian dari Brazil, Marlone kekal di tempat kedua dengan ditonton 885,572 kali sementara Messi di tempat ketiga dengan 879,423.

Calon lain adalah Mario Gaspar (Villareal/Sepanyol), Hlompho Ke­kana (Mamelodi Sundowns/Afrika Selatan), Saul Niguez (Atletico Madrid/Sepanyol), Hal Robson-Kanu (Wales), Simon S­krabb (Gefle IF/Finland) dan satu-satunya calon wanita Daniuska Rodriguez (Venezuela).

Mohd. Faiz, 29, yakin jaring­an­nya itu mampu untuk seku­rang-kurangnya melangkah ke pusingan akhir anugerah Puskas 2016.

“Insya-Allah jika ada rezeki boleh tersenarai dalam tiga jari­ngan terbaik. Tapi bagi saya untuk berada dalam senarai 10 terbaik sudah satu kejayaan. Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong dan mengundi,” katanya.

Peminat bola sepak tanah air boleh mengundi gol jari­ngan Mohd. Faiz melalui laman web www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/ untuk tersenarai dalam tiga pencalonan terbaik anugerah tersebut sebelum tarikh tutup undian pada Jumaat ini.