Hanya satu mata memisahkan kedua-dua kelab itu dengan Chelsea mengumpul 31 mata, tetapi impak Conte di Stamford Bridge kelihatan lebih besar berbanding rakan sejawatannya Pep Guardiola di Etihad.
Perbezaan tersebut jelas dapat dilihat berdasarkan prestasi yang dipamerkan Chelsea berbanding musim lalu.
Chelsea kini mengutip 17 mata lebih baik jika dibandingkan jumlah yang diraih mereka dalam tempoh sama musim lepas sewaktu saat-saat akhir Blues di bawah bimbingan Jose Mourinho, sementara City mengumpul lebih empat mata selepas 13 perlawanan ketika Manuel Pellegrini menerajui kelab berkenaan.
Gol yang dijaringkan Tottenham Hotspur sewaktu tumpas 1-2 di Stamford Bridge Sabtu lalu merupakan satu-satunya jaringan yang berjaya membolosi Chelsea dalam tujuh perlawanan terakhir mereka yang menyaksikan formasi 3-4-3 diterapkan Conte benar-benar menjadi.
City, yang mendapat laluan permulaan musim yang agak mudah, kelihatan kurang menyengat kebelakangan ini setelah sekadar meraih kemenangan tipis ke atas Crystal Palace serta Burnley, dan bekas bos Barcelona serta Bayern Munich, Guardiola mengakui Chelsea telah menetapkan standard mereka sendiri.
“Kami bakal beraksi menentang sebuah pasukan terbaik dalam Liga Perdana pada ketika ini. Sejak lima atau enam minggu yang lalu mereka telah mempamerkan kualiti permainan mengagumkan. Kami akan cuba menggali rahsia dan apa yang diperlukan untuk menewaskan mereka. Kami akan membuat persediaan yang terbaik,” katanya.
Bekas pemain tengah dan jurulatih Chelsea, Ray Wilkins pula berkata perkembangan kelab lamanya itu akan dapat dilihat dengan jelas selepas hujung minggu ini.
“Saya fikir perlawanan itu nanti akan memberi jawapan kepada Conte sama ada tiga pemain di benteng pertahanan yang diterapkannya itu benar-benar berkesan menentang pasukan handalan ataupun tidak,” katanya kepada Sky Sports.
Chelsea tidak perlu diingatkan mengenai senjata berbahaya yang dimiliki City. Sergio Aguero telahpun meledakkan empat gol ke atas Chelsea pada musim lepas, termasuk hatrik di Stamford Bridge, dan pemain itu telah menyumbat 10 gol dalam kempen kali ini.
Bagaimanapun, Blues perlu berbangga dengan Diego Costa yang kembali mendapatkan prestasi terbaiknya dan penyerang itu turut menjaringkan 10 gol.