United hanya melakar dua kemenangan sejak akhir Ogos lalu, selebihnya mereka sering seri dan situasi tersebut membuatkan pasukan itu tergelincir dalam perebutan gelaran liga musim ini.
Bagaimanapun, selepas gagal membawa pulang tiga mata berharga Mourinho tetap menegaskan pasukannya beraksi dengan baik cuma dia tidak menerima layanan setimpal.
“Anda (pengkritik) perlu membuat keputusan kerana apabila pemain saya bermain bola sepak secara pragmatik dan kemudian memenangi perlawanan atau kejohanan, anda akan kata itu tidak bagus. Anda akan bercakap perkara yang tidak baik.
“Apabila pasukan saya bermain dengan bagus sehingga terdapat perbezaan ketara dalam tempoh dua atau tiga tahun lepas, kemudian anda akan cakap…Walau apa pun yang berlaku keputusan adalah lebih penting.
“Ketika ini, pasukan kami mahu mendapatkan keputusan positif, bertahan dengan 11 pemain, memastikan bola dalam penguasaan dan melakukan serangan. Anda perlu buat keputusan,” kata Mourinho.
Dalam pada itu, tindakan Mourinho membawa masuk Marouane Fellaini pada minit ke-85 mengundang padah apabila bintang Belgium tersebut mengasari Idrissa Gana Gueye dalam kotak penalti menyebabkan pengadil perlawanan menghadiahkan penalti kepada Everton.
Mourinho bagaimanapun mempertahankan tindakannya membawa masuk pemain berusia 29 tahun itu.
“Saya fikir anda lebih arif mengenai bola sepak. Everton bukan lagi pasukan yang gemar melakukan hantaran-hantaran pendek seperti satu ketika dulu, mereka kini lebih mengamalkan corak permainan terus.
“Apabila kami berdepan pasukan yang sedang di ambang kekalahan, maka ia perkara yang betul untuk membawa masuk seorang pemain yang tinggi bagi membantu menjaga benteng pertahanan.
“Kami memerlukan pemain yang boleh membantu pasukan memenangi perlawanan dengan beraksi secara defensif.
“Kami bermain dengan baik di tempat lawan dan menguasai permainan, namun nasib tidak menyebelahi kami. Kami gagal pulang bersama keputusan yang diharapkan,” kata pengurus kelahiran Portugal itu.