Laporan di England mendakwa dua bintang Gunners itu meminta bayaran tinggi yang hampir mencecah jumlah diterima pemain Manchester United, Paul Pogba iaitu 290,000 pound (RM1.6 juta) seminggu.
Bagaimanapun, Wenger menegaskan kewangan bukan masalah utama kelab itu dan mengesahkan perbincangan dengan Ozil serta Sanchez masih lagi berterusan.
“Saya ingin mengatakan bahawa kemewahan dalam permainan moden ini bukan melibatkan wang semata-mata.
“Pemain berupaya membuat duit di mana-mana sahaja dan duit sentiasa yang terbaik kepada semua orang.
“Anda lebih banyak berurusan dengan ejen, kemudian dengan pemain, itu adalah normal,” kata Wenger.
Arsenal sudah pun layak ke saingan 16 akhir Liga Juara-juara dan mungkin menamatkan perlawanan di anak tangga teratas Kumpulan A andai mampu meraih keputusan lebih baik berbanding Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan terakhir kumpulan.
Arsenal perlu menang besar ketika menentang FC Basel selain mengharap PSG seri atau tewas menentang Ludogorets untuk membolehkan Gunners menamatkan kempen peringkat awal sebagai juara kumpulan sekali gus menentang lawan lebih mudah dalam peringkat kalah mati.