Bernhardt berkata skuad kendaliannya itu mendominasi permainan dengan baik terutamanya pada babak pertama namun gagal menghasilkan peluang untuk mencipta gol dan tahap kecergasan pemain menjadi masalah utama mereka dalam perlawanan tersebut.
“Jelas sekali kami menguasai permainan pada babak pertama namun tidak mampu mencipta gerakan berbahaya untuk mendapatkan gol manakala pada separuh masa kedua pula kami ada peluang baik tetapi tidak gol dan saya fikir itu masalah dalam pasukan ini.
“Namun, masalah utama adalah pemain tidak cergas kerana mereka sedang bercuti (Liga Malaysia tamat). Mereka menyertai pasukan dalam keadaan tidak cergas dan kami perlu melatih mereka semula. Selepas 60 atau 70 minit permainan saya perlu menukar pemain kerana mereka menghadapi kekejangan otot.
“Ini menunjukkan tahap kecergasan pemain amat lemah. Kelab perlu memainkan peranan kerana kami tidak boleh menghimpunkan pemain dengan kerap, tambahan pula kami tidak mengumpul mereka kemudian fokus kepada kecergasan kerana banyak lagi perkara yang perlu saya utamakan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perancangan pada tahun depan, Bernhardt berkata dia memerlukan masa yang lama untuk membentuk pasukan yang mantap selepas menyaksikan persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya pada hari ini.
“Saya tidak berpeluang untuk mengumpulkan pemain pada Januari dan Februari manakala kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) bermula pada Mac depan secara rasmi. Berdasarkan persembahan dan tahap kecergasan mereka pada hari ini, saya memerlukan masa untuk melakukan persiapan.
“Bukan beberapa hari atau minggu tapi sekurang-kurangnya beberapa bulan. Selagi kalendar untuk tahun depan dan keputusan kelab (untuk melepaskan pemain) tiada, saya tidak begitu pasti. Kami sudah merangka perancangan namun jika tidak dapat menghimpunkan pemain semuanya menjadi sia-sia,” kata pengendali dari Jerman itu.