Beberapa bekas pemain Selangor, dalam sidang akhbar di Shah Alam hari ini, menegaskan tindakan Mohamed Azmin mendiamkan diri tidak sepatutnya berlaku kerana merugikan banyak pihak dan menjejaskan perancangan pasukan Red Giants untuk musim depan.
“Bukan mahu menyalahkan sesiapa, tetapi saya berharap Menteri Besar Selangor (Mohamed Azmin) selaku Presiden FAS, dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera kerana pemain ketika ini dalam keadaan terumbang-ambing terutamanya dari segi kontrak.
“Kemudian, Selangor tidak mempunyai dana untuk mengharungi musim depan. Sebagai presiden, beliau perlu membantu FAS. Beliau mendiamkan diri dan tidak memberi apa-apa maklum balas. Kami mengharapkan Azmin memberikan komitmen yang lebih baik dan memberikan kerjasama dengan bagus kepada barisan exco FAS.
“Kami tahu beliau ada komitmen lain bersama kerajaan negeri namun jika bantuan tidak disalurkan itu akan menyukarkan FAS untuk mendapatkan dana dalam tempoh terdekat.
“Sekiranya diberitahu lebih awal mungkin FAS boleh melakukan sesuatu tapi kalau diberitahu pada saat akhir sukar untuk FAS walaupun mungkin masih ada jalan penyelesaian,” kata Nazzab Hidzan yang mewakili kumpulan bekas pemain itu kepada pemberita.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan FAS bakal bergerak sendiri dalam memastikan The Red Giants tetap bersaing dalam Liga Malaysia meskipun berkemungkinan tidak lagi mendapat sokongan kerajaan negeri dari segi mencari dana.
Difahamkan segala peruntukan kerajaan negeri hanya akan disalurkan kepada PKNS FC seperti didedahkan oleh bekas pengurus Selangor, Amiruddin Shari pada November lalu.
Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd. Ibrahim menegaskan hingga kini tiada maklum balas diterima oleh exco daripada presidennya berhubung perkara itu.
Nazzab yang mewakili Selangor pada 1996 hingga 2000, kemudian pada 2005 hingga 2006 berkata dia mahu perkara itu diselesaikan dalam suasana harmoni dan bukannya melalui demonstrasi mahupun memorandum.
“Jika beliau tampil dan beri penjelasan atau kata putus untuk menentukan hala tuju Selangor sudah cukup baik. Ahli gabungan tidak perlu melakukan demonstrasi atau menghantar memorandum (bantahan) kerana itu bukan budaya kita malah boleh mengeruhkan lagi keadaan,” katanya lagi.