Pengarah Agensi dan Bakat MVP Sports Agensi, Hafizan Halim mengesahkan Hazwan telah membuat keputusan untuk menyertai JDT biarpun masih mempunyai baki kontrak sehingga hujung 2017 bersama Red Giants.

“Memang benar Hazwan telah membuat keputusan menyertai JDT selama dua tahun. Kontraknya bersama JDT bermula pada tahun depan sehingga hujung 2019.

“JDT telah menebus kontrak Hazwan yang masih berbaki selama setahun malah ke­dua-dua belah pihak turut mencapai persetujuan hasil run­dingan bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Hazwan ketika dihubungi enggan memberi sebarang kenyataan mengenai perpindahannya ke JDT.

Perpindahan tersebut sama sekali tidak mengejutkan kerana sebelum ini JDT sudah pun me­nyatakan hasrat untuk mendapatkan Hazwan apabila pada 17 November lalu pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pihaknya bakal menghantar surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Sela­ngor (FAS).

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan FAS berdepan cabaran sengit untuk mengekalkan pe­nyerang kebangsaan itu kerana Hazwan bukan sahaja dipancing oleh JDT malah turut menarik minat satu lagi kelab Liga Super.

Selain Hazwan, JDT turut mendapatkan dua lagi pemain Selangor iaitu Mohd. Azrif Nasrulhaq (pertengahan musim) dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor (hujung musim). Difahamkan JDT membelanjakan RM1 juta bagi mendapatkan Hazwan.