Penjaga gol Jerman itu dikritik hebat selepas melakukan dua kesilapan yang menyebabkan Liverpool diikat 2-2 oleh West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, semalam.

Kesilapan pertama, dia gagal membaca sepakan bebas Dimitri Payet untuk menghadiahkan gol sulung West Ham dan kesilapan kedua, dia gagal menangkap bola di kaki Michail Antonio serta meninggalkan posisinya untuk membolehkan pemain sayap itu menjaringkan gol mudah.

Karius, 23, telah melakukan tiga kesilapan besar minggu ini. Kesilapan terdahulu menyebabkan Liverpool kalah 4-3 kepada Bournemouth.

Dalam perlawanan itu, dia gagal menangkap kemas bola tendangan jauh Steve Cook untuk membuka laluan kepada Nathan Ake menjaringkan gol mudah.

Carragher dan Redknapp percaya, sekarang adalah masanya buat pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menggantikan penjaga gol yang dibeli daripada Mainz dengan harga 4.7 (RM26 juta) itu kepada bekas penjaga gol utama, Simon Mignolet.

“Saya harap dia akan ditukar kepada Mignolet,” kata Carra­gher kepada Sky Sports.

“Saya juga akan buat perkara yang sama,” sahut ­Red­k­napp yang berada di se­belahnya.

Carragher, percaya, Reds pasti sedang berkongsi mata di kedudukan teratas bersama Chelsea jika bukan disebabkan kesilapan yang dilakukan Karius.

“Jurgen Klopp perlu mempertimbangkan untuk merehatkan pemain ini. Dia mungkin merasakan, dengan menggugurkan Karius akan menjatuhkan keyakinannya, tetapi dia harus sedar dia telah menjatuhkan keyakinan seluruh pasukan ketika ini.

“Sekarang mereka ketinggalan enam mata (di belakang Chelsea) dan saya tidak fikir perkara ini akan terjadi jika kesilapan tidak dilakukan oleh Karius,” katanya.

“Terdapat perbezaan di antara melindungi dan membunuh pemain. Kalau dia rasa dia mahu kekalkan Karius untuk melindu­n­ginya, maka dia silap kerana dia telah membunuh pemain itu de­ngan membiarkan dia terus membuat silap,” kata Redknapp pula.

Sementara itu, Carrag­her mengakui, dia amat terdesak untuk melihat Liverpool mendapatkan bintang tengah Leicester City, Riyad Mahrez.

“Saya harap Mahrez dibawa bawa masuk dari musim panas lagi. Dia akan melengkapkan pasukan ini,” ujarnya.