MUSA sedia memberi sokongan kepada Aseh asalkan ia dapat menarik penglibatan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam FAM.
Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, Tunku Ismail tidak berminat menjadi Presiden FAM tetapi menawarkan pakej menarik kepada ahli gabungan, termasuk memilih Aseh sebagai Presiden.
Kata Mohd. Yusoff, Tunku Ismail menegaskan beliau lebih selesa berada di dalam FAM sebagai Penaung atau Penasihat Diraja badan induk bola sepak negara itu.
Bagaimanapun kata Mohd. Yusoff, itu semua hanya berlaku andai ahli gabungan memilih Aseh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Intergriti FAM sebagai Presiden FAM bagi penggal akan datang.
“Kami Melaka memang mahukan penglibatan TMJ dalam FAM kerana banyak perkara positif dapat berlaku nanti dan kami juga tidak kisah apa jawatan yang bakal disandang oleh Tunku Ismail.
“Ini adalah pakej yang ditawarkan kerana jika mahu Tunku Ismail bersama FAM maka perlu memilih Tan Sri Aseh Che Mat sebagai Presiden.
“Buat masa ini kami tidak nampak ada calon lain yang mampu membawa perubahan dalam FAM selain daripada Tunku Ismail yang dilihat mempunyai perancangan terbaik buat bola sepak negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam sewaktu ditemui selepas menghadiri majlis persidangan bersama ahli-ahli gabungan di Banda Hilir di Melaka, pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, beliau hanya mahu perubahan dilakukan bagi memulihkan kembali imej bola sepak negara, di samping menaikkan kualiti dan integriti terutama pasukan kebangsaan di samping menaikkan standard liga.
Bagaimanapun, Tunku Ismail berkata, semuanya terpulang kepada ahli gabungan badan induk berkenaan yang mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan mereka.
Dalam pada itu, Mohd. Yusoff berkata, ketika pertemuan semalam Tunku Ismail turut menjelaskan perubahan yang bakal dilakukan andai berada dalam FAM, termasuklah memperbaiki pengurusan dan kewangan badan induk tersebut.
“Hasil hak penyiaran akan diberikan sama rata kepada ahli gabungan yang lain dengan tujuan membantu ahli gabungan di dalam FAM.
“Malah Tunku Ismail turut memberitahu pasukan kebangsaan akan mempunyai penaja mereka sendiri tanpa perlu menggunakan kewangan daripada hak penyiaran,” katanya lagi.
Kongres FAM dijangka berlangsung pada Mac tahun depan, dan setiap calon yang mahu bertanding sebarang jawatan perlu membuat keputusan mengenai pendirian mereka, sebulan sebelum pemilihan.