Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya menyerahkan kepada Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood untuk menilai perkara tersebut.

“Walaupun kerajaan negeri tidak mengambil alih Kafa, penjelasan kenapa liabiliti terlampau tinggi itu perlu dilakukan terutama kepada penaja pasukan. Mana-mana individu yang mahu menjadi penaja pasukan bola sepak Kelantan ini kita sokong,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Ahmad mengulangi pendiriannya yang tidak bersedia mengambil alih jawatan Presiden Kafa, walaupun ramai pihak mahukan beliau berbuat demikian.

Katanya, walaupun beliau menolak jawatan itu, tidak bererti kerajaan mengabaikan pembangunan bola sepak di negeri ini.

“Sebelum ini pun kerajaan negeri potong levi, dan baru-baru ini potong lagi 10 peratus levi, kita juga tidak kenakan langsung cukai hiburan. Pemain juga dirai setiap kali menang piala dengan membawa mereka menunaikan umrah dan lain-lain sumbangan,” katanya.