Khairy Jamaluddin juga berha­rap setiap pasukan yang bertan-ding dalam Liga M dapat berope­rasi mengikut kemampuan ma­sing-masing dan tidak terlalu ghairah untuk mendapatkan pemain berprofil tinggi.

“Kita memahami tekanan kewangan terhadap persatuan bola sepak negeri sekarang ini sangat berat terutamanya dalam keadaan ekonomi sekarang. Disebabkan kebanyakan persatuan bola sepak negeri bergantung kepada kerajaan negeri untuk beri penajaan, tahun ini sangat sukar.

“Saya fikir mungkin kerajaan negeri pun tidak mampu. Penajaan sekarang bukan setakat RM3 juta atau RM4 juta. Semasa saya kendalikan MyTeam, bajet tahunan kami RM3 juta atau RM4 juta sahaja. Sekarang, jumlah tersebut tidak boleh nak bayar gaji pemain kesebelasan utama.

“Saya harap mereka dapat beroperasi mengikut kemampuan kewangan. Tidak perlu untuk mendapatkan pemain yang bergaji besar tapi guna pemain muda sedia ada untuk kurangkan bajet,” katanya.

Khairy menyifatkan masalah kewangan yang dihadapi oleh se­se­tengah pasukan dalam Liga Ma­laysia semakin kritikal apabila Se­langor juga berkemungkinan menarik diri daripada persaingan musim depan.

“Ya..Ini sudah sampai tahap yang agak kritikal (mengancam menarik diri). Sebelum ini Kelantan kemudian Perlis dan terbaharu Selangor. Kita tidak tahu pasukan mana pula selepas ini,” katanya.

Bagaimanapun, Khairy berkata isu dalam persatuan bola sepak negeri itu lebih kepada masalah ego dan mereka sebenarnya masih mempunyai jalan keluar terhadap permasalahan yang mereka hadapi iaitu tidak perlu ada dua pasukan daripada negeri yang sama.

“Sebenarnya untuk kes Se­langor ini ada satu jalan keluar. Mereka tidak perlu ada dua pasukan. PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) itu adalah agensi kerajaan negeri. Sepatutnya PKNS dapat menaja Selangor. Selangor PKNS. Habis cerita.

“Tetapi, oleh kerana tiada usaha untuk menggabungkan maka akhir­nya mungkin Selangor itu sendiri yang sudah menang 33 kali (Piala Malaysia) mungkin tidak akan beraksi dalam Liga M.

“Jadi kita kena buang ego dan kalau ada dua pasukan mewakili satu negeri mungkin inilah masa terbaik untuk kita buat penggabungan. Cantumkan semua sumber yang ada supaya tidak perlu satu negeri ada dua pasukan dan kita memberi fokus kepada pembangunan satu pasukan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Atlet Program Kita Juara di sini semalam.

Hari ini, akhbar melaporkan Selangor mengancam untuk menarik diri daripada Liga M musim depan sekiranya Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) gagal mencari sumber kewangan mencukupi untuk menanggung kos keseluruhan perbe­lanjaan badan induk negeri itu.