Bekas pemain Selangor itu turut menerima anugerah Penyerang Terbaik ABK 2016 hasil kejayaannya menjaringkan tujuh gol dalam 25 penampilan musim ini bersama juara Piala Malaysia 33 kali itu.

Pemain berusia 25 tahun itu dipilih selepas menerima undian majoriti daripada 24 jurulatih tempatan serta ketua pasukan selain media tempatan.

“Sukar menggambarkan perasaan saya. Saya rasa berbelah ba­hagi antara gembira dan sedih. Gembira kerana dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai dan sedih kerana gagal bantu Selangor meraih sebarang trofi musim ini.

“Kejayaan ini akan menjadi perangsang untuk saya terus beraksi cemerlang pada musim akan datang.

“Saya bagaimanapun sudah bersedia dengan cabaran baharu dalam karier saya. Sudah pasti saya akan bekerja keras untuk membantu pasukan JDT mempertahankan gelaran juara Liga Super selepas ini,” katanya.

Bintang Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri pula diberikan Penghargaan Khas kerana jaringan luar biasanya semasa perlawanan Liga Super menentang Pahang tersenarai dalam Anugerah Puskas FIFA.

Sementara itu JDT bersama barisan pemainnya berada di dalam kelas tersendiri apabila berjaya merangkul enam anugerah termasuk Pasukan Terbaik selain turut menerima anugerah Laman Web serta Laman Media Sosial Terbaik menerusi Johor Southern Tigers.

Kapten JDT, Safiq Rahim terus menerima pengiktirafan apabila dinobat selaku pemain tengah terbaik manakala penyerang impot sensasi mereka Jorge Pareyra Diaz diangkat sebagai Pemain Import Terbaik serta Penjaring Terbanyak Import Liga Super selepas meledak 18 gol dalam 22 penampilan liga.

Pemain Perak, Fazrul Hazli Mohd. Kadri diiktiraf sebagai Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super.

Dalam pada itu pertahan Kedah, Rizal Ghazali dipilih selaku Pemain Pertahanan Terbaik manakala jurulatih Lang Merah, Tan Cheng Hoe menerima anugerah Jurulatih Terbaik.

Penjaga gol kebangsaan, Khai­rul Fahmi Che Mat dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik dan Safawi Rasid dari TFCII dipilih selaku Pemain Muda Harapan.

Pemain Kuantan FA, Abdul Malik Mat Ariff menerima anugerah Penjaring Terbanyak Liga Perdana manakala pemain import Melaka United, Ilija Spasojevic diiktiraf sebagai Penjaring Terbanyak Import Liga Perdana selepas menjaringkan 27 gol.