Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS), Amin Abd. Wahab berkata, sudah sampai masanya ahli gabungan FAS mengambil tindakan tersebut bagi menentukan hala tuju sebenar dan masa depan bola sepak negeri itu yang ketika ini menjadi semakin samar.
“Ayuh bangkitlah ahli gabungan FAS (lebih 70 kelab bola sepak) dan sokonglah titah saranan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya pucuk pimpinannya dirombak dan peluang diberikan kepada barisan pemimpin baharu yang lebih efisien dan profesional.
“PBMS juga berkongsi aspirasi dengan seluruh peminat bola sepak Selangor supaya sukan nombor satu ini, malah skuad Red Giant yang penuh dengan sejarah dan tradisi kejayaan di Malaysia, kembali diperkasakan di bawah pimpinan berwajah baharu.
“Kenyataan Tengku Amir Shah itu telah membuktikan betapa prihatinnya tuanku dengan bola sepak Selangor. Siapalah kita ini jika masih tidak mahu mendengar titah saranan tuanku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Amin mengulas mengenai saranan Raja Muda Selangor supaya seluruh struktur organisasi FAS dirombak gara-gara perkembangan Red Giant yang begitu membimbangkannya supaya lebih relevan dengan keadaan semasa, selain ditunjangi dengan aspek pemasaran sukan yang lebih baik.
Titah Tengku Amir Shah, Jumaat lalu: “Berleluasanya politik, cara pengendalian lapuk, mentaliti berharap subsidi harus dihapuskan.
“Sekiranya barisan Exco sedia ada tidak dapat memperbaiki situasi dalam masa terdekat, beta cadangkan agar mereka berundur secara terhormat supaya pasukan baharu yang berkebolehan dapat memulihkan organisasi yang tenat ini,” titahnya.
Mengenai kenyataan Menteri Besar yang juga Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam yang menyokong rombakan kepemimpinan badan induk itu yang ditubuhkan pada 1936, jelas Amin, PBMS menyokong penuh apa juga tindakan presiden dalam mengatasi kemelut tersebut.