Kali terakhir City menang di Anfield adalah pada 3 Mei 2003, yang menyaksikan skuad bimbingan Kevin Keegan mengalahkan anak-anak buah Gerard Houllier 2-1.
Malah, daripada 10 pertemuan terakhir, City hanya menang dua kali. Kemenangan terakhir hadir di Etihad pada 25 Ogos, 2014 yang mana The Citizens menumpaskan Reds 3-1.
Guardiola sudah mendapat gambaran awal formula yang bakal digunakan bagi mengalahkan Liverpool dan idea itu hadir selepas dia menonton aksi Reds ketika menewaskan Stoke City 4-1, Selasa lalu.
Pengurus Stoke, Mark Hughes memberi beberapa tips berguna buah Guardiola untuk menjinakkan Liverpool di laman sendiri.
Biarpun, pasukannya gagal pulang bersama tiga mata, namun dia percaya taktikal mereka mampu membantu City meraih keputusan positif.
“Saya rasa, kami berjaya memberi tentangan hebat kepada Liverpool di Anfield. Pasukan lain, terutama City yang akan bertandang ke Anfield pada hujung minggu ini boleh menerapkan taktikal yang digunakan oleh Stoke City.
“Secara keseluruhan kami bermain baik, terutama ketika mengatur serangan. Kekalahan kami berpunca daripada kesilapan individu di benteng pertahanan,” ujar Hughes.
Pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum pula percaya, semua pasukan takut untuk beraksi di Anfield dan Reds amat bersedia menyambut kedatangan City.
Kenyataan itu disokong oleh rekod Liverpool yang tidak pernah tewas di laman sendiri musim ini, malah skuad bimbingan Jurgen Klopp meledak 25 gol dalam lapan perlawanan di Anfield.
“Saya fikir Anfield adalah tempat yang sangat menakutkan buat mana-mana pasukan. Cara kami bermain dan menjaringkan gol di tempat sendiri, itu cukup menggerunkan lawan.
“Kami melepaskan gol awal ketika bertemu Stoke tetapi sebaik sahaja kembali fokus dan mendapat rentak, kami tidak mampu dibendung lagi dan empat gol berjaya dihasilkan,” kata Wijnaldum.