Itu pandangan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Na­yan ketika mengulas mengenai sikap tidak profesional beberapa pasukan bola sepak tempatan, dalam soal pembayaran gaji pemain.

Menurut Abdul Puhat, ke­ghairahan pasukan mendapatkan pemain bertaraf bintang menyebabkan sebahagian besar bajet mereka terpaksa diperuntukan untuk membayar gaji pemain.

Sekiranya pihak pengurusan realistik dalam menguruskan perbelanjaan mengikut bajet yang dimiliki, kemungkinan besar isu tunggakan gaji tidak akan berlaku.

Malah, Abdul Puhat juga me­ngakui, dalam keadaan bola sepak negara sekarang yang belum mencapai tahap profesional sepenuhnya, bantuan kerajaan negeri menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga amat diperlukan bagi menguruskan sebuah pasukan bola sepak.

“Pengurusan kewangan yang baik penting dalam menguruskan sesebuah pasukan. Kita kena belanja ikut kemampuan, jangan terlalu mencari pemain bertaraf bintang kalau bajet tidak me­ngizinkan tetapi jika persatuan mampu tiada masalah.

“Bantuan kerajaan negeri menerusi GLC juga sangat penting bagi mentadbir sebuah pasukan bola sepak di Malaysia. Kami (Perak) beruntung kerana Menteri Besar (Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir) dan syarikat-syarikat GLC negeri banyak membantu dari sumber dana.

“Malah setiap masalah yang dihadapi pengurusan Perak juga dapat diselesaikan dengan baik hasil kerjasama semua pihak. Ini membantu kami untuk kekal dan tidak mengalami masalah yang serius,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walaupun Perak antara pasukan yang mempunyai rekod ‘bersih’ dalam menjaga kebajikan pemain, namun Abdul Puhat mengakui, Bos Gaurus sebenarnya tidak terlepas daripada berdepan masalah kewangan cuma ia tidak seserius sesetengah pasukan.

Semalam Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail mendedahkan masih ada 23 kes tunggakan gaji pemain untuk musim 2016 belum selesai, melibatkan lapan buah pasukan.

Statistik itu menunjukkan ba­nyak pasukan Liga Malaysia (Liga M) belum mencapai tahap profesional dalam menghormati kontrak pemain.

Bagaimanapun Perak antara persatuan yang memiliki pengurusan yang baik musim lalu apabila masih mampu menempatkan diri dalam kelompok enam terbaik Liga Super biarpun tanpa membariskan pasukan bertaraf bintang dan menggunakan bajet sederhana.

Namun begitu bagi musim 2017, Bos Gaurus bakal diperkuatkan dengan beberapa nama besar seperti Nazrin Nawi, Jasazrin Jamaludin, Shahrom Ka­lam, Zaquan Adha Abd. Radzak, Hafiz Kamal dan Abdul Hadi Yahya dengan misi memburu sekurang-kurang­nya satu trofi, selain menempatkan diri dalam kedudukan tiga terbaik Liga Super.