Anak-anak buah Antonio Conte sudah pun me­lakar rekod kelab dengan mencatat kemenangan ke-12 berturut-turut ketika menum­paskan Bournemouth 3-0, Isnin lalu dan mereka hanya kurang dua kemenangan lagi untuk menyamai rekod yang dilakukan Arsenal pada 2002.

Pertahanan kukuh yang dike­tuai penjaga gol, Thibault Courtois adalah faktor kekuatan Blues selepas dia hanya membenarkan gawangnya dibolosi dua kali dalam 12 perlawanan terakhir.

“Kami hanya melepaskan dua gol dalam 12 perlawanan ter­akhir, ia rekod yang menakjubkan. Saya percaya, pertahanan Chelsea te­lah mengalami transformasi sejak kekalahan 0-3 kepada Arsenal (24 September).

“Sejak itu, kami telah membentuk pasukan baharu dengan baik. Kami melakukan formasi yang benar-benar berkesan.

“Sebagai penjaga gol, peranan saya tidak ba­nyak beza, namun pasukan menunjukkan pe­ningkatan ketara dan saya yakin, kami mampu meneruskan rentak baik apabila bertemu Stoke City,” kata Courtois.

Penyerang sensasi Sepanyol, Diego Costa kembali me­nguatkan jentera Blues dan bakal bergan­dingan dengan Eden ­Hazard serta N’Golo Kante.

Sementara itu, Henrikh Mkhitaryan sedia merampas tempat dalam kesebelasan utama Manchester United apabila Red Devils menerima kunjungan Middlesbrough di Old Trafford, esok.

Sepakan ‘kala jengking’ yang dilakukan pemain itu membantu United menumpaskan Sunderland 3-1 aksi terakhir liga, Isnin lalu dan Mkhitaryan percaya, United berada di landasan terbaik untuk meneruskan rentak kemenangan.

“Bagus untuk melihat pasukan ini kembali berada di landasan kemenangan.

“Kami perlu mengekalkan rentak cemerlang jika mahu mencabar kedudukan empat teratas. Harap saya akan menjadi sebahagian daripada tonggak yang membantu pasukan,” ujar pemain te­ngah Armenia itu.