Jurulatih dari Portugal itu menyalahkan punca persembahan United yang tidak konsisten adalah disebabkan mereka terpaksa kembali beraksi untuk perlawanan seterusnya dalam tempoh tiga hari dan perlu bertandang ke London selepas menewaskan Middlesbrough 2-1 di Old Trafford pada Sabtu lalu.
“Sangat sukar untuk bermain bola sepak dalam keadaan seperti ini dalam tempoh 48 jam. Sungguh mengagumkan untuk peminat di seluruh dunia, semua orang mempunyai Liga Perdana, saya juga gembira untuk melakukannya namun amat sukar untuk pemain,” kata Mourinho.
Jurulatih perlawanan, Mike Dean melayangkan kad merah kepada pemain sayap The Hammers, Sofiane Feghouli selepas mengasari pertahanan United, Phil Jones pada minit ke-15 namun Red Devils terpaksa menunggu sehingga minit ke-63 untuk membuka tirai jaringan menerusi percubaan Juan Mata sebelum Zlatan Ibrahimovic mengukuhkan kedudukan selang 15 minit kemudian.
“Kesukaran bukan sahaja dihadapi oleh pasukan yang beraksi dengan 10 pemain malah pasukan dengan 11 pemain. Apabila anda mempunyai lebih seorang pemain anda perlu berfikir dengan baik. Pemain saya sangat penat untuk berfikir, kami banyak membuat keputusan yang salah.
“Apabila anda segar anda bermain corak permainan ringkas, apabila anda tidak segar anda akan bermain secara rumit. Pada babak pertama semuanya menjadi rumit. Pasukan menjadi berbeza apabila saya membawa masuk pemain baharu, Mata dan Rashford.
“Permainan kami terbuka dengan Rashford, kelebihan seorang pemain mencipta peluang, kami sememangnya layak untuk menang namun jujurnya jika Antonio menjaringkan gol saya tidak fikir kami akan menenang, apabila anda penat dan perlu menghadapi kekalahan menjadikan keadaan lebih sukar.