Malangnya, faktor keletihan menyebabkan mereka diikat 2-2 di Stadium of Light, kurang 48 jam selepas menumpaskan pencabar utama Liga Perdana Inggeris, Manchester City 1-0, keputusan yang amat mengecewakan pengurus kelahiran Jerman itu.
“Saya beritahu pemain, jika ada sesiapa yang tidak mahu beraksi kerana terlalu penat beritahu sekarang, tetapi semua diam. Saya fikir itu perkara bagus.
“Namun, mereka kelihatan sangat kepenatan hari ini,” kata Klopp, yang menyaksikan misi Reds untuk menghambat pendahulu liga Chelsea menjadi bertambah sukar selepas pasukannya ditinggalkan dengan lima mata.
Liverpool bertandang ke Sunderland hanya 48 jam selepas bertemu City di Anfield, Sabtu lalu. Malah, dua hari selepas sambutan Krismas anak-anak buah Klopp menerima kunjungan Stoke City dan mencatat kemenangan 4-1.
Dalam aksi di Stadium of Light, jaringan Daniel Sturridge dan Sadio Mane tidak mencukupi untuk memberi kemenangan buat Liverpool selepas Sunderland berjaya membalas menerusi dua penalti, yang mana-mana kedua-duanya disempurnakan oleh Jermain Defoe.
Klopp nyata tidak gemar dengan apa yang disaksikan dan dia juga tidak menyembunyikan emosi sebenarnya.
“Minta maaf disebabkan emosi saya,” katanya dihujung sidang akhbar selepas memberikan ulasan mengenai keputusan seri yang menyaksikan Liverpool masih kekal di tempat kedua dengan mengutip 44 mata daripada 20 perlawanan.
Walaupun rata-rata pengurus gemar menjadikan pengadil sebagai sasaran kritikan mereka setiap kali mencatat keputusan yang menghampakan, Klopp pula jarang menggunakan situasi itu sebagai alasan mudah untuk keluar daripada masalah.
Namun, kali ini dia menyalahkan Anthony Taylor kerana menghadiahkan sepakan percuma yang terkena tangan Mane sehingga menghadiahkan sepakan penalti kedua kepada Sunderland.
Pengurus Liverpool itu bertindak berjumpa sendiri dengan pengadil selepas perlawanan.
“Memang sukar untuk menerima keputusan ini. Jika anda melihat sekali lagi, tiada pelanggaran berlaku. Saya melihat sendiri ketika perlawanan sedang berlangsung dan pengadil keempat juga menyaksikannya.
“Ia bukanlah satu kesilapan terburuk di dunia dan saya tidak mahu menyatakannya, tetapi keputusanmemang memeritkan,” katanya.