Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC), Mohammad Haniff Rana Manzor berkata, sekiranya Azmin mahu melepaskan jawatan beliau sepatutnya terlebih dahulu menyelesaikan kemelut yang melanda FAS dan tidak membiarkan badan induk tersebut begitu sahaja.
“Saya mewakili SSFC berasa amat kecewa dengan apa yang berlaku terhadap FAS ketika ini. Sebagai Presiden FAS, saya fikir Datuk Seri Azmin bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini.
“Jika beliau benar-benar mahu melepaskan jawatan, beliau sepatutnya menyelesaikan setiap masalah terlebih dahulu dan selepas itu kalau beliau nak letak jawatan pun tiada masalah.
“Jika beliau meninggalkan FAS dalam keadaan begini nampak tidak elok sebab seolah-olah beliau lari daripada tanggungjawab.
“Beliau juga Menteri Besar Selangor dan saya fikir beliau tidak perlu lari atau biarkan masalah yang dihadapi begitu sahaja sebab masyarakat akan hilang hormat kepadanya. Ini bukan soal politik tapi beliau kena bertanggungjawab,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 30 Disember lalu, Azmin mengumumkan peletakan jawatannya setelah hampir dua tahun bersama FAS, namun pada Ahad lalu, badan induk itu menggesa beliau melangsaikan gaji pemain dan pegawai pasukan bagi bulan November 2016 serta bonus mara ke final Piala Malaysia tahun lalu seperti yang dijanjikan.
Kemudian, bekas pengurus pasukan Selangor, Amirudin Shari mendakwa, FAS mempunyai dana mencukupi setelah menjual Ahmad Hazwan Bakri dan R. Gopinathan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), manakala Mohd. Hafiz Kamal dan Shahrom Kalam ke Perak.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd. Ibrahim menegaskan bahawa penjualan keempat-empat pemain tersebut adalah sebahagian daripada perancangan Red Giants bagi menghadapi musim 2017.
Dalam pada itu, Haniff turut berkata, Azmin, Amirudin serta FAS tidak perlu berbalas kenyataan di media kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat Red Giants.
“Saya fikir penyokong bijak untuk membuat penilaian dan saya juga fikir jika mereka saling berbalas kenyataan untuk menyalahkan antara satu sama lain, dikhuatiri akan menimbulkan suasana yang tidak harmoni dan tiada kesudahannya. Kami tidak mahu perkara seperti itu berlaku.
“Biarpun dilanda kemelut, sokongan kami kepada Selangor tidak pernah luntur dan kami sentiasa ada bersama pasukan walau apa jua keadaan sekalipun,” katanya.