Seramai enam pemain import mencuba nasib bersama Red Giants antaranya dari Brazil, Costa Rica, Nigeria dan Cameroon ketika Selangor menumpaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 2-1 dalam aksi persahabatan di padang Pulapol di sini, hari ini.

Dua slot pemain import telah diisi oleh pertahanan, Ugo Ukah dan pemain sayap Indonesia, Andik Vermansah, manakala bekas penyerang Felda United, Forkey Doe pula dilihat hampir pasti menyarung jersi Red Giants, bermakna hanya tinggal satu tempat sahaja lagi untuk direbut.

“Pada babak pertama saya menurunkan pemain utama dan saya lihat corak permainan ada peningkatan begitu juga dengan tahap kecergasan pemain. Kami perlu berusaha untuk perlawanan seterusnya.

“Bagaimanapun, saya tidak berpuas hati dengan pemain import yang datang untuk menjalani ujian percubaan sebab saya rasa ada pemain yang lebih baik. Kalau dilihat corak permainan mereka masih tidak berada di tahap untuk beraksi bersama Selangor.

“Esok pagi kami akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad Piala Presiden dan kesemua pemain import tersebut diminta hadir dan saya akan lihat lagi perkembangan mereka.

“Menyentuh mengenai Forkey saya fikir dia ada sentuhan cuma dia perlu tingkatkan tahap kecergasan dan saya bagi dia masa selama seminggu lagi untuk melihat perkembangannya dan akan buat keputusan selepas itu. Slot pemain import ada dua sahaja lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan.

Dalam perlawanan tersebut, Selangor membolosi gawang PDRM seawal minit keempat menerusi percubaan, K. Kannan sebelum Doe menyempurnakan penalti pada minit ke-41 selepas Adam Nor Azlin dikasari pertahanan lawan. Gol PDRM diperoleh menerusi jaringan Dao Bakary pada minit ke-32.

Maniam yang merupakan bekas pemain Selangor era 1990-an berkata, dia menyenaraikan lapan pemain daripada Piala Presiden menyertai skuad senior untuk menghadapi saingan liga musim baharu ini, setelah berpuas hati dengan corak persembahan yang dipamerkan mereka.

“Saya berpuas hati dengan pemain Piala Presiden kerana mereka menunjukkan kombinasi dengan pemain senior. Mereka bermain dengan baik. Syahmi (Safari) dan Kannan bermain bagus,” katanya lagi.

Terengganu menjadi ujian Selangor dalam aksi persahabatan seterusnya di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Rabu ini.