Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim berkata, usaha badan tersebut untuk mendapatkan dana bagi menghadapi Liga M 2017 berjalan baik dan ketika ini mereka sedang berunding de­ngan lapan syarikat yang berminat menaja Red ­Giants.

Biarpun menyifatkan keadaan Sela­ngor ‘terkawal’, namun kata Rosman, FAS tetap menunggu maklum balas daripada Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas menyatakan hasrat untuk melihat Raja Muda Selangor (RMS) itu menjadi Presiden baharu.

“Ketika ini FAS sedang berusaha keras mencari dana untuk menampung kos keseluruhan dan kami telah pun mengadakan rundingan bersama lapan syarikat.

“ Kami masih menunggu maklum balas mereka, namun semua­nya berjalan baik.

“Kami perlu mencari dana sekurang-kurangnya RM15 juta bagi menghadapi Liga M 2017. Kami perlu usaha berlipat kali ganda memandangkan masa semakin suntuk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 20 Disember lalu, Exco FAS tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Liga M 2017 sekiranya gagal mencari dana mencukupi untuk menampung kos keseluruhan badan induk tersebut ekoran krisis pengurusan yang dihadapi mereka selepas tidak sehaluan dengan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beberapa hari selepas kenyataan itu dikeluarkan, Azmin mengumumkan peletakan jawatan bersama pengurus pa­sukan, Amirudin Shari dengan alasan Exco FAS sedia ada masih mengekalkan sikap dan budaya lama iaitu ‘politik berlebih-le­bihan, melakukan kerja dengan cara lama serta amat bergantung kepada mentaliti subsidi.

Menyentuh mengenai kedudukan Azmin, Rosman berkata, sehingga hari ini FAS masih belum menerima surat rasmi daripada Menteri Besar Selangor itu mengenai peletakan jawatannya.