FIFA menerusi Twitter rasminya, @FIFAcom terdahulu dilihat memuat naik cerita mengenai pemain Pulau Pinang itu lima kali dan secara tidak langsung mempromosikan gol Faiz untuk diundi sebelum undian ditutup pada pukul 2.29 pagi waktu Malaysia.
Berbanding dua lagi finalis iaitu pemain Brazil, Marlone dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela, FIFA hanya memuat naik tweet mereka sekali.
Mungkin FIFA lebih gemar memuat naik tweet cerita berkaitan Faiz kerana sedia maklum ia akan dibanjiri respons peminatnya, yang rata-rata dari Malaysia.
Atau mungkin juga, situasi tersebut memberi ‘isyarat’ bahawa jaringan Faiz berpotensi untuk memenangi Anugerah Puskas kerana menarik tontotan paling ramai di Youtube iaitu 2.5 juta.
Tweet pertama FIFA kepada Faiz adalah ketika mengucapkan selamat berlepas kepada pemain itu, sebelum mengalu-alukan ketibaannya di Zurich.
FIFA turut mengucapkan semoga berjaya dan cuba merealisasikan impian Faiz untuk berswafoto dengan Cristiano Ronaldo.
Antara tweet yang dimuat naik FIFA: “Jumpa anda sebentar lagi Faiz, semoga selamat dalam perjalanan.”
“Selamat datang ke Zurich, Mohd. Faiz Subri!,” status FIFA yang mendapat respons tertinggi daripada peminat bola sepak seluruh dunia. Kelima-lima tweet menerima lebih 15,000 retweet dan 8,600 like setakat ini.
Beberapa jam sebelum anugerah tersebut berlangsung, FIFA turut memanggil beberapa bintang dunia seperti Diego Maradona, Carli Lloyd dan Marta untuk mempromosikan majlis berkenaan.
Apa yang menariknya, daripada tiga calon akhir Puskas, hanya Faiz dipanggil menghadiri sesi fotografi, yang kemudian dimuat naik di laman web rasmi FIFA, selain Twitter dan Facebook.