Real ketinggalan 3-1 pada minit ke-77 namun kapten, Sergio Ramos mengurangkan defisit gol apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-83 setelah Matias Kranevitter menjatuhkan Casemiro dalam kotak penalti.

Ketika kemenangan seolah-olah berpihak kepada Sevilla, penyerang Perancis, Karim Benzema meledak gol penyamaan sekali gus membantu Real mara ke peringkat suku akhir kejohanan dengan agregat 6-3.

“Sevilla bermain dengan baik dan membuktikan mereka lawan yang sukar. Kami mengalami banyak kesukaran namun kami memiliki karekter dan itu sudah bagus. Mungkin Sevilla layak untuk memenangi perlawanan ini namun biarpun seri kami tetap mara,” kata pengendali Real, Zinedine Zidane.

Sevilla berada di depan selepas Danilo menjaringkan gol sendiri pada minit ke-10 namun Marco Asensio menyamai kedudukan setelah melepaskan rembatan rendah dari jarak dekat.

Stevan Jovetic yang baharu menyertai Sevilla secara pinjaman dari Inter Milan pada minggu ini menjaringkan gol kedua untuk pasukannya pada minit ke-54 sebelum Vicente Iborra meledak gol ketiga selang 23 minit kemudian.