“Minta maaf, terus terangkan saya katakan persiapan Kafa tidak kemas sebab itu saya cakap pegawai Kafa kena baca situasi dan lakukan pengubahsuaian.
“Kalau kehilangan saya sebagai presiden mereka perlu cari yang baharu.
“Cara Kafa membentuk pasukan kalau tidak kena pada gaya boleh tersingkir (daripada Liga Super). Minta maaf, saya bukan mendoakannya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Annuar yang melepaskan jawatan Presiden Kafa pada 8 November lalu turut memberi peringatan kepada semua Exco yang masih memegang jawatan dalam badan induk tersebut agar memainkan peranan masing-masing, terutama dalam mendapatkan tajaan untuk pasukan.
Katanya lagi, Kafa tidak boleh menganggap masalah kewangan mereka sudah selesai biarpun beliau telah bersetuju untuk menaja Kelantan menerusi dua syarikat yang dipengerusikannya iaitu Al Hamra dan RedONE.
“Sekarang, saya sebagai penaja dan berurusan dengan The Red Warriors (TRW) tetapi saya bukan lagi presiden.
“Saya sudah memberi notis kepada Kafa namun malangnya tiada siapa lagi yang mahu menjadi Presiden Kafa.
“Dahulu saya terpaksa bekerja secara kreatif (ketika bergelar presiden) tapi sekarang saya berada di pihak lain iaitu sebagai penaja.
“Saya ada baca bajet Kafa bahawa tajaan saya tidak mencukupi. Saya nak beri peringatan kepada Kafa, jangan duduk dan berharap duit datang kepada anda.
“Saya bekerja keras semasa jadi presiden dan jangan pula rasa dengan bantuan saya ini masalah sudah selesai.
“Saya siapa? Tambahan pula pelbagai masalah yang anda (media) dengar. Malah, banyak rancangan saya disabotaj awal atau tergendala.
“Tapi saya jatuh bukan terkeluar dalam konteks membantu Kafa. Gagal tiada dalam kamus hidup saya. (Tajaan Annuar) cukup untuk Kafa bergerak. Kalau Kafa izinkan saya boleh sambung kerja untuk mencari dana lagi.
“Tapi tolonglah, pegawai Kafa daripada pemangku presiden sehingga ke ahli Exco kena ada sikap yang betul, cara bekerja dan jangan harap duit datang dengan mudah,” katanya lagi.