Lucas muncul wira The Reds

By
Updated: January 19, 2017

PLYMOUTH 19 Jan. – Liverpool terpaksa berhempas pulas sebelum melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Plymouth Argyle dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA di Stadium Home Park, awal pagi tadi.

Dalam aksi itu, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp sekali lagi memberi kepercayaan kepada barisan pemain mudanya seperti Trent Arnold, Kevin Stewart, Oviemuno Ejaria dan Ben Woodburn ketika bertandang ke laman lawan.

Bagaimanapun, keputusan seri tanpa jaringan di Anfield menyebabkan Klopp tidak mahu mengambil risiko, justeru turut menurunkan pemain utama seperti Philippe Coutinho dan Daniel Sturridge.

Walaupun beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris, ia bukan tugas mudah untuk Liverpool melepasi pertahanan kelab divisyen empat itu.

Namun, Lucas Leiva muncul wira pasukan The Reds apabila menanduk gol tunggal dalam perlawanan itu, pada minit ke-19.

Bersambung babak kedua, Liverpool berpeluang menambah jaringan apabila diberikan sepakan penalti pada minit ke-86 namun tendangan Divock Origi berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Luke McCormick.

Kemenangan tersebut, memastikan Liverpool mara ke pusingan keempat Piala FA dan akan berdepan dengan Wolverhampton Wanderers.