Berdasarkan rekod, Barcelona tidak menang dalam lapan pertemuan terakhir mereka di Anoeta dengan pertemuan terakhir mereka pada November lalu bertemu Real Sociedad berakhir dengan keputusan 1-1.
Skuad bimbingan Luis Enrique meneruskan isyarat kebangkitan dalam persembahan mereka sejak awal permainan dan dihadiahkan sepakan penalti selepas Neymar dijatuhkan Aritz Elustondo pada minit ke-20.
Kemenangan itu juga menyaksikan tonggak tengah Barca, Andres Iniesta terpaksa digantikan Andres Gomes pada separuh masa pertama di Anoeta selepas mengadu mengalami kesakitan di bahagian betisnya.
Iniesta akan menjalani pemeriksaan ke atas kecederaan betis yang dialaminya pada perlawanan itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Barcelona sejurus tamat perlawanan mengesahkan:” Iniesta terpaksa diganti dengan Gomes kerana mengalami kecederaan di betis kirinya. Dia akan menjalani pemeriksaan di Barcelona”.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi untuk perlawanan suku akhir kedua di Camp Nou pada 26 Januari ini.
Sementara itu, Atletico Madrid hampir pasti menempah tiket ke separuh akhir apabila berjaya menewaskan Eibar 3-0 di Vicente Calderon.
Gol Atletico Madrid disumbangkan oleh penyerang sensasi Perancis, Antoine Griezmann, disusuli jaringan Angel Correa dan Kevin Gameiro.
Meskipun tempat duduk penonton hampir kosong berikutan suhu sejuk di ibu negara Sepanyol, Atletico tidak berdepan masalah untuk mengatasi Eibar yang menyaksikan mereka bakal berdepan tugas mudah pada aksi timbal balik nanti.
“Ia agak sukar pada separuh masa pertama tetapi anda boleh lihat peluang yang diperolehi jika kami beraksi lebih baik dan itulah yang berlaku di babak kedua,” kata pengurus Atletico, Diego Simeone.