Katanya, sistem itu dilihat berjaya menguatkan bahagian sera­ngan dengan mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut.

“Apa yang penting sistem permainan itu dapat mencipta peluang menjaringkan gol, cuma kita perlu perkemaskan dari segi sentuhan penyudah.

“Insya-Allah saya akan mengekalkan sistem ini supaya dapat meningkatkan persembahan pemain dan mereka memperoleh keserasian untuk perlawanan akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut di di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Penyerang baharu skuad The Fighters, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo muncul wira pasukan tuan rumah apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-67.

Azmi, yang memuji semangat juang anak buahnya, berkata kemenangan itu memberi suntikan moral kepada skuad The Fighters untuk muncul sebagai antara pa­sukan yang perlu diberi perhatian musim ini.

Katanya, kelemahan yang dikesan dalam perlawanan pertama Liga Malaysia itu akan diperbaiki dari semasa ke semasa termasuk dari segi keserasian dalam permainan.

“Namun kemenangan pertama ini sudah pasti memberi lebih keyakinan kepada pemain,” katanya.

Sementara itu, pengendali PKNS FC, E. Elavarasan optimis anak buahnya akan bangkit dalam perlawanan seterusnya kerana perjalanan saingan Liga Super masih panjang dan mempunyai ruang bagi memperbaiki kelemahan skuad Red Ants.

Dia yang tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaiknya pada perlawanan itu berkata, anak buahnya memberi saingan sebelum jaringan Norshahrul Idlan yang merencatkan persembahan PKNS FC.

“Ini adalah aksi pertama dan segala kelemahan akan diperbaiki,” katanya.