Sebuah majalah Jerman, Sport Bild berkata, pemain berusia 33 tahun itu yang melakukan penampilan ke-500 untuk Bayern pada Sabtu lalu akan menggantung but pada Jun ini, biarpun masih memiliki baki kontrak selama setahun bersama kelab itu.
Baru-baru ini, Lahm melahirkan hasrat untuk menjadi pengarah sukan kelab namun ditolak ekoran jawatan tersebut tidak lagi wujud kerana Bayern melakukan penyusunan semula jawatan.
Majalah tersebut turut melaporkan, Lahm yang bersara daripada pentas antarabangsa selepas menjadi kapten Jerman pada Piala Dunia 2014 di Brazil telah pun memaklumkan Bayern mengenai keputusannya itu.
Pemain pertahanan itu menyertai Bayern pada 1995 ketika berusia 11 tahun dan menjadi kapten ketika Bavarian berkenaan memenangi Liga Juara-Juara di Wembley pada 2013.
Pada musim sama, Bayern menjadi kelab pertama Jerman melengkapkan kejuaraan trebel, Liga Juara-Juara, Bundesliga dan Piala Jerman.
Sepanjang kariernya, Lahm menjuarai Bundesliga sebanyak tujuh kali bersama Bayern. – AFP