Kehebatan Hazwan mula menjadi perhatian selepas dia menjaringkan dua gol ketika membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia pada 2015 menewaskan Kedah 2-0.
Dia turut memainkan peranan penting membawa Selangor mara ke final Piala Malaysia tahun sebelum tewas kepada lawan yang sama.
“Saya tidak lupa Selangor bekas majikan saya. Saya masih hormati Selangor sebagai bekas pasukan dan saya tidak memandang rendah kepada mereka.
“Jika saya berjaya menjaringkan gol esok, saya tidak mahu meraikannya sebagai tanda hormat saya kepada Selangor.
“Sebagai pemain saya perlu profesional. Esok saya akan main seperti biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, tumpuan peminat bola sepak tempatan esok turut terarah kepada pertembungan dua gergasi – iaitu pendahulu liga, Pahang yang akan bertandang ke Stadium Darul Aman untuk menentang juara Piala Malaysia, Kedah.
Pertemuan itu menjanjikan aksi menarik, apatah lagi kedua-dua pasukan belum tewas dalam tiga perlawanan pertama musim ini.
Dalam pada itu, Felda United bertemu Kelantan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka tanpa jurulatih selepas Azmi Mohamed melepaskan jawatan.