Skuad Foxes ketika ini tewas dalam lima perlawanan berturut-turut termasuk kepada Swansea dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Liberty.
Kekalahan tersebut menyebabkan Leicester turun ke tangga 17 liga sekali gus berada di atas satu tangga untuk bergelar pasukan juara pertama memasuki zon penyingkiran sejak 1938.
Malah Leicester juga sudah bergelar pasukan pertama sebagai penyandang juara yang tewas lima perlawanan berturut-turut sejak 1956.
Pemain bintang kelab itu, Jamie Vardy, Riyad Mahrez dan Danny Drinkwater pastinya berasa terancam berikutan tidak mampu untuk membantu Foxes beraksi cemerlang pada aksi awal musim ini.
Ranieri berkata, dirinya akan cuba untuk memberikan peluang kepada semua pemainnya sebelum membuat keputusan seterusnya.
“Saya mungkin setia dan sukar apabila anda meraih pencapaian yang bagus anda mahu memberikan mereka peluang pertama, kedua, ketiga. Itu mungkin bagi saya keterlaluan.
“Sudah tentu saya perlu melakukan perubahan kerana sukar untuk kami teruskan dengan keadaan begini,” kata Ranieri.
Dalam pada itu, pengurus berusia 65 tahun tersebut merasakan dirinya masih lagi sesuai untuk membimbing Leicester ketika ini.
“Ya saya berpendapat saya masih lagi individu yang sesuai bagi jawatan ini.
“Saya juga selalu mempersoalkan diri saya namun akhirnya saya akan memperoleh jawapan bahawa kami mampu untuk melakukan sesuatu yang bagus.
“Saya berpendapat kekuatan kami bergantung kepada keseimbangan. Tidak terlalu tinggi apabila anda meraih kemenangan dan tidak terlalu rendah apabila anda tewas.
“Anda pasti ingat apa yang kami lakukan pada musim lepas namun anda juga perlu berdiri dengan kaki anda sendiri bagi mencapai kejayaan bersama,” kata Ranieri.