Ketika skuad Sang Kancil seakan bergelut akibat dua kekalahan dan hanya satu seri dalam saingan Liga Super, lawannya Semut Merah pula berada dalam momentum terbaik selepas mencatat kemenangan besar ke atas Selangor 5-3 dan Perak 3-0 pada dua perlawanan terakhir.
Ketua Jurulatih Melaka United, Eric Williams mengakui, tugas berat menanti mereka namun beliau mempunyai perancangan sendiri dan akan meneliti pemain yang bakal diturunkan untuk menggalas tugas penting pada pertemuan itu.
“Saya harap keadaan pemain bertambah baik supaya mereka dapat bangkit dan segera pulih daripada keletihan untuk kita bersiap sedia menghadapi PKNS nanti.
“Bagaimanapun, kita akan lihat dulu keadaan mereka mana yang cergas dan mengalami kecederaan jadi dari situ saya akan membuat penilaian terhadap pemain yang akan bermain nanti.
“Seperti kita tahu moral serta keyakinan pasukan PKNS sangat tinggi waktu ini kerana kemenangan ke atas lawan dalam permainan terdahulu tetapi kami tidak boleh menyerah dan akan berjuang habis-habisan,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, ketua pasukan Melaka United, Ilija Spasojevic berkata, dia dan rakan sepasukan akan bekerja lebih keras dalam perlawanan itu untuk menebus kekecewaan dalam perlawanan di Liga Super.
“Semua pemain sedaya upaya melakukan yang terbaik dan kita harap kali ini nasib akan lebih menyebelahi kami untuk mencatat kemenangan,” katanya.
Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Perdana musim lalu menyaksikan masing-masing mencatatkan satu kemenangan ketika beraksi di laman sendiri iaitu di Hang Jebat Melaka United menang (2-1) manakala PKNS menebusnya di Stadium Shah Alam (3-1).