Selepas ketinggalan 0-1 seawal minit kelapan menerusi jaringan penyerang lincah Napoli, Lorenzo Inzighe, Real bangkit dengan gol penyamaan menerusi tandukan Karim Benzema sebelum Toni Kroos dan Casemiro memastikan kemenangan pasukan pelawat selepas itu.

Bagaimanapun Zidane pantas menegaskan, Real tidak boleh sama sekali bermain secara sambil lewa dalam pertemuan kedua di Naples 7 Mac ini kerana Napoli bukan calang-calang pasukan yang boleh dipandang mudah sebaliknya mampu menyekat impian Real yang mengintai tempat ke suku akhir buat kali ketujuh berturut-turut.

“Kami bermain baik hari ini, malah boleh dianggap persembahan terbaru yang terbaik daripada kami. Memang malang melepaskan satu gol tetapi kami berjaya bangkit dengan cara sendiri dan menukar perlawanan kepada keputusan yang bagus.

“Yang pasti, gelanggang sukar menanti kami di sana (Naples). Peluang masih terbuka kepada kedua-dua pasukan dan kami hanya perlu ke sana menggunakan kelebihan jaringan yang ada untuk menamatkan cabaran mereka,” kata Zidane.

Untuk rekod, ini merupakan kemenangan ke-29 Real dalam kempen Eropah daripada 34 perlawanan setakat ini. Mereka juga tidak pernah kalah dalam 12 perlawanan di laman sendiri.

“Tumpuan dan fokus kami sangat tinggi dan penting di pe­ringkat ini. Berdepan lawan yang bagus seperti Napoli dan pemain yang bagus dari segi prestasi, anda perlu berada pada tahap tertinggi seperti ini,” tambah Zidane.