Annuar dalam Facebooknya hari ini berkata, antara visi dan misinya adalah menjadikan bola sepak sebagai agenda nasional seiring dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan menggubal kerangka 30 tahun yang dinamakan ‘Malaysia Dare to Dream 2050’.

Annuar turut menggariskan pelan tindakan untuk pasukan Harimau Malaysia, termasuk berada dalam kelompok 100 terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan membentuk pemain tempatan yang mampu beraksi di peringkat global.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai pelan tindakan yang mahu dilakukannya, sebaliknya berkata, aspek integriti pengurusan, pemain serta pegawai, selain membebaskan FAM daripada rasuah turut menjadi penekanannya.

“Ada yang tanya apakah saya tidak ada perancangan untuk FAM? Ada. Cuma sabarlah dulu. Saya beri kerangka kasar. Perinciannya bulan depan ya,” kata Annuar.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang lagi calon Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam menjelaskan mengenai visi dan misinya dalam satu pertemuan dengan penyokong bola sepak tempatan.

Antara perkara asas yang mahu dilakukan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu ialah memperbetulkan struktur organisasi FAM yang disifatkannya dibelenggu kesilapan dan pengurusan, membabitkan kewangan dan kurang rasa profesionalisme.

TMJ juga mahu pasukan kebangsaan memiliki struktur organisasinya tersendiri dan ia tidak boleh diganggu mana-mana pihak manakala setiap perkembangan semasa Harimau Malaysia akan dilaporkan terus kepadanya. Kongres Pemilihan FAM ke-53 bagi penggal 2012/2021 dijadual berlangsung pada 25 Mac ini.