Mkhitaryan meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-16, sekali gus membawa United melangkah ke pusingan seterusnya menerusi agregat 4-0 selepas mencatat kemenangan 3-0 dalam perlawanan pertama di Old Trafford, minggu lalu.
Bekas binang tengah Borussia Dortmund itu bagaimanapun terpaksa dikeluarkan hanya 10 minit selepas menjaringkan gol akibat kecederaan hamstring manakala Carrick dibawa keluar tidak lama kemudian kerana masalah betis.
Pengurus pasukan, Jose Mourinho memberitahu BT Sport, dia tidak menyesal menurunkan pasukan terbaik di Stade Geoffroy-Guichard walaupun terpaksa membayar harga tinggi, sambil berharap Mkhitaryan dan Carrick masih sempat sembuh untuk perlawanan hujung minggu ini.
“Anda boleh mengalami kecederaan sebaik sahaja keluar dari rumah, anda boleh mengalami kecederaan ketika berada di taman. Kita tidak akan tahu bila dan mengapa kita cedera.
“Dalam perlawanan penting seperti ini anda kena sentiasa mengambil risiko. Sudah tentu mereka berdua adalah pemain penting buat pasukan dan tidak memiliki kedua-duanya dalam final nanti mampu memberi kesan.
“Bagaimanapun saya fikir Marouane (Fellaini) dan Bastian (Schweinsteiger), dua pemain yang tidak banyak beraksi adalah jawapan terbaik untuk pasukan.
“Saya tidak kata mereka (Mkhitaryan dan Carrick) sudah sah akan terkeluar, saya cuma kata jika itu berlaku. Dalam masa tiga hari, apabila anda mengalami kecederaan hamstring atau betis, masa yang ada untuk sembuh biasanya tidak cukup, namun kita tunggu dan lihat,” kata Mourinho.