Ranieri sebelum ini amat yakin dirinya akan terus kekal bersama kelab itu terutama selepas membantu Leicester meraih gelaran Liga Perdana Inggeris musim lepas.
Masa depan pengurus warga Itali itu mula menjadi tanda tanya apabila kelab itu terperosok di tangga ke-17 dalam carta liga setelah ditimpa lima kekalahan berturut-turut dan kini hanya dipisahkan satu anak tangga daripada zon penyingkiran.
Difahamkan pengurusan tertinggi kelab yang dimiliki jutawan Thailand itu dikatakan sedang cuba untuk mendapatkan khidmat bekas bintang Leicester, Roberto Mancini ataupun Guus Hiddink.
Malah ada juga mendakwa pemecatan Ranieri mempunyai kaitan dengan tindakannya yang membangkitkan kemarahan pemain bintang kelab itu musim ini apabila melakukan perubahan di dalam kesebelasan utama serta menu selepas perlawanan daripada sajian burger ayam kepada pasta.