Ranieri yang telah membantu Leicester meraih gelaran Liga Perdana Inggeris musim lepas telah dipecat kurang 24 jam selepas kekalahan 1-2 ke atas Sevilla dalam aksi Liga Juara-Juara di Sepanyol.

Malah terdapat laporan bahawa pergolakan dalam kalangan pemain juga menjadi punca pemecatan Ranieri selain prestasi hambar kelab tersebut musim ini.

Bos Manchester United, Mourinho telah menyatakan rasa kurang setuju dengan pemecatan Ranieri apabila turut memakai t-shirt dicetak huruf ‘CR’ pada sidang akhbar kelabnya, Jumaat lalu.

Malah pengurus United itu percaya, keputusan yang dibuat atas dasar kepentingan sendiri telah menyebabkan warga Itali tersebut kehilangan kerjanya.

“Tiada siapa dapat memadamkan apa yang Claudio telah lakukan. Jika sesetengah cerita itu benar (berhubung pemain) pasti sukar untuk mendapatkan ayat sesuai bagi menggambarkannya.

“Mungkin musim ini bermula dengan pemikiran yang terlalu menjurus kepada kepentingan sendiri berbanding orang lain terutama apabila memikirkan kontrak baharu, mahu mendapatkan lebih banyak wang dalam masa sama lupa siapa membantu mereka mencapai tahap ketika ini,” kata Mourinho.