Skuad Harimau Kumbang memulakan musim 2017 dengan lima kekalahan berturut-turut untuk menghuni anak tangga tercorot Liga Super.

Malah, anak-anak buah Ashley Westwood hanya menjaringkan gol pertama mereka musim ini ketika dibelasah 1-6 oleh Pahang dalam aksi terakhir liga minggu lalu.

Wakil Kelab Gabungan Penyokong Pulau Pinang, Mohamad Khir Mohd. Nor berkata, mereka tidak mampu lagi melihat pasukan itu terus dimalukan hanya kerana FAP yang dipimpin Zairil Khir Johari telah membuat beberapa keputusan kurang tepat.

“Antara yang dipertikaikan oleh kami ialah pembelian dua pemain import yang hingga kini tidak menunjukkan kualiti, malah pemain tempatan lebih menonjol.

“Pada masa sama, kami mendesak ketua jurulatih Ashley Westwood berundur kerana sejak dia mengambil alih, suasana tidak harmoni berlaku dalam kem Pulau Pinang,” katanya.

Terdahulu, kumpulan ber­kenaan menyerahkan memorandum kepada Pegawai Penerangan Kerajaan DAP Pulau Pinang, Zahar Zainul yang mewakili Guan Eng di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Kumpulan penyokong tersebut turut membawa kain rentang bertulis “Westwood, Get Out From Penang FA”.

Pulau Pinang yang terselamat daripada tersingkir ke Liga Perdana musim lalu tewas 0-2 kepada Selangor, diikuti 0-1 kepada T-Team, 0-1 kepada Perak sebelum dimalukan di hadapan penyokong sendiri oleh Sarawak dengan keputusan 0-1.

Minggu lalu skuad berkenaan tewas dengan jaringan besar 6-1 kepada Pahang di tempat lawan, sekali gus meningkatkan keresahan penyokong setia mereka.

Untuk merungkai segala permasalahan yang melanda pasukan, kelab gabungan penyokong turut meminta FAP mengadakan pertemuan dengan mereka dan memberi penjelasan sewajarnya.

“Sekiranya FAP terus berdiam diri, kami akan memboikot perlawanan membabitkan pasukan negeri di tempat sendiri atau stadium lawan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pemain utama skuad berkenaan yang dihubungi Utusan Malaysia untuk mendapatkan komen menjelang pertemuan malam esok menjelaskan, dia dan rakan sepasukan tidak dibenarkan berbuat demikian.

Pemain itu berkata, sebelum memberi kenyataan, mereka perlu mendapat kebenaran FAP terlebih dahulu.