Kane menjaringkan tiga gol dalam tempoh masa 23 minit bagi membantu Spurs menewaskan Stoke City dengan keputusan 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris sekali gus membolehkan kelab itu melangkah ke tangga kedua liga ketika ini.

Tottenham kini hanya dibezakan dengan 10 mata daripada pendahulu liga Chelsea selepas 26 perlawanan yang telah berlangsung.

Malah pemain berusia 23 tahun itu juga turut meledak tiga gol ketika menentang Fulham dalam saingan Piala FA pada 19 Februari lalu dan melakukan perkara sama sewaktu bertemu West Brom dalam saingan liga 14 Januari 2017.

“Dia bermain pada tahap yang amat bagus dan dia juga adalah pemain yang menakjubkan,” kata Pochettino.

Pada perlawanan menentang Stoke City, Kane menjaringkan gol sewaktu minit ke-14, ke-32 dan ke-37 sekali gus menjadi kemenangan kelapan berturut-turut di White Hart Lane.

Satu lagi gol Spurs dijaringkan oleh Dele Alli sewaktu penghujung separuh masa pertama.