Perkara itu didedahkan beberapa laman Facebook penyokong yang mendakwa prosiding di pejabat Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) itu berlangsung dalam suasana panas.
Menurut sumber, peguam yang mewakili Sani tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik persidangan oleh pengurusan FAP.
Sani ketika dihubungi Utusan Malaysia menjelaskan dia tidak dapat mengulas panjang mengenai perkara itu kerana kes masih dalam siasatan Lembaga Disiplin FAP.
Penjaga gol berusia 33 tahun itu bagaimanapun menegaskan, siasatan bukan bersabit isu jual perlawanan.
“Siasatan ini bukan melibatkan dakwaan menjual perlawanan atau kekalahan 1-6 kepada Pahang tetapi lebih kepada isu lain.
“Bagaimanapun, sebagai menghormati proses siasatan dan majikan, di pihak saya satu surat jawapan akan dihantar kepada FAP,” katanya.
Sebelum ini, penjaga gol berpengalaman yang membantu Negeri Sembilan menjuarai Piala FA 2010 dan memenangi Liga Perdana bersama Sarawak meluahkan kekecewaan selepas tewas kepada Skuad Tok Gajah dalam perlawanan Liga Super.
FAP yang menerima tekanan hebat daripada penyokong setia mereka ekoran prestasi buruk pasukan telah memberi amaran kepada pemain agar tidak mengeluarkan kenyataan tanpa kebenaran.
Pulau Pinang kini menduduki tangga tercorot selepas tewas enam perlawanan awal dan hanya menjaringkan dua gol setakat ini.
Menurut sumber, siasatan itu dipercayai berhubung kes pergaduhan dalam bilik persalinan sejurus kekalahan 1-6 kepada Pahang dua minggu lalu.
Sementara itu, khabar angin bertiup kencang mengatakan bekas bintang import Pulau Pinang pada era 90-an, Merzagua Abderrazak berada dalam perancangan untuk dibawa masuk menggantikan jurulatih, Ashley Westwood.
Bekas penyerang Maghribi itu pernah membimbing Pulau Pinang muncul juara Liga FAM 2012 seterusnya layak ke Liga Perdana pada 2013.
Kedudukan Westwood yang juga bekas pemain Manchester United semakin goyah selepas pasukannya masih gagal memungut sebarang mata.