Leicester kembali raih kemenangan

By
Updated: February 28, 2017

LONDON 28 Feb. – Leicester City kembali mempamerkan aksi terbaiknya apabila dua jaringan Jamie Vardy membolehkan kelab itu meraih kemenangan 3-1 ke atas Liverpool sekali gus dapat mengelak daripada jatuh ke zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris.
PENYERANG Leicester, Jamie Vardy (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan Wilfred Ndidi selepas membantu kelab itu meraih kemenangan 3-1 ke atas Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
Pada perlawanan pertama Leicester tanpa pengurus Claudio Ranieri yang dipecat minggu lalu itu, juara bertahan Liga Perdana Inggeris tersebut seakan dapat beraksi dengan baik berbanding sebelum ini.

Vardy menjaringkan gol pertamanya sewaktu minit ke-28 untuk membolehkan Leicester mendahului kedudukan jaringan sebelum Danny Drinkwater menjadikan kedudukan 2-0 enam minit sebelum tamat separuh masa pertama manakala jaringan kedua Vardy hadir sewaktu babak kedua perlawanan.

Gol tunggal Liverpool diperoleh menerusi Philippe Coutinho sewaktu minit ke-69 sebelum terpaksa menerima kekalahan kepada pasukan di tangga ke-15 liga.

“Meraih kemenangan ini membuatkan kami berasa amat bagus,” kata Drinkwater.

Dalam pada itu, Vardy tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atas aksi hambar Leicester sebelum ini.

“Kami telah bekerja keras dan melakukan segalanya dan akhirnya kami berupaya mendapatkan kemenangan,” kata Vardy.