Mehmet, yang akan membimbing Bos Gaurus dalam perlawanan ketiga liga sejak menggantikan Karl Heinz Weigang bulan lalu, pernah mengemudi Red Giants selama tiga tahun dari 2013 hingga 2015.
Malah, dia turut membantu Selangor melengkapkan misi menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33 pada musim terakhir sebelum Red Giants mengambil tindakan mengejut menyingkirkan jurulatih dari Australia untuk digantikan dengan Zainal Abidin Hassan.
Bagaimanapun, pengendali berusia 51 tahun itu kini memandang ke hadapan dan melupakan kisahnya bersama Selangor, sebaliknya berusaha mencari tiga mata penting selepas masih gagal mencari kemenangan dalam dua perlawanan pertamanya bersama Perak.
Skuad Bos Gaurus kalah 2-4 kepada Kelantan dalam aksi terakhir liga Rabu lalu.
Perak yang menjadi pasukan kedua paling banyak dibolosi dengan 13 gol setakat ini perlu menguatkan benteng pertahanan dan situasi tersebut membuatkan penjaga gol Muhd. Hafizul Hakim tekad memastikan gawang Bos Gaurus tidak bocor lagi dalam perlawanan esok.
“Saya tidak mahu bolos dan kami mahu menang. Itu sasaran saya esok.
“Tidak dinafikan bahagian pertahanan masih perlu bekerja keras untuk mendapatkan keserasian kerana membawa masuk beberapa pemain baharu musim ini. Pertahanan ada melakukan kesilapan tetapi saya enggan menuding jari kepada sesiapa.
“Sebagai penjaga gol saya kena bantu pertahanan. Jika sebelum ini mereka melakukan kesilapan, tidak mustahil mungkin selepas ini saya pula boleh membuat silap.
“Kalau kami kalah, saya anggap semua pemain beraksi dengan teruk tetapi jika menang seluruh pasukan beraksi bagus,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kelantan yang masih segar dengan kejayaan menumpaskan Perak bakal bertemu T-Team di Kota Bharu manakala Kedah menerima kunjungan Melaka United dan Felda United bertemu Sarawak. PKNS FC pula akan beraksi di Shah Alam menentang Pulau Pinang.