Penyerang berusia 31 tahun itu, yang bermain dengan kelab Turki, Galatasaray sejak 2015, dijangka tiba di Jepun pada Jun ini.
Kobe bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci berhubung perjanjian tersebut, namun difahamkan Podolski telah menandatangani kontrak tiga tahun bernilai AS$15 juta (RM66.73 juta).
Keputusan penyerang itu memilih Jepun merupakan satu kejutan tatkala pemain lain tertumpu ke China menerusi perpindahan lumayan pada penghujung kerjaya masing-masing.
J-League sebelum ini pernah mencuri tumpuan apabila menarik beberapa nama besar bola sepak seperti Zico dan Gary Lineker sekitar tahun 1993, namun bergelut untuk menarik pemain lain sejak kebelakangan ini.
Podolski dinobatkan sebagai pemain muda terbaik Piala Dunia 2006, mengatasi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo dalam kejohanan tersebut.
“Saya boleh sahkan, pada akhir musim ini saya akan menyertai Vissel Kobe dari J-League di Jepun.
“Saya buat keputusan ini untuk memburu cabaran baharu, dan saya akan jelaskan lebih lanjut apabila tiba masanya,” kata pemain kelahiran Poland itu.
Podolski, yang ditetapkan untuk terus bermain bersama Galatasaray hingga akhir musim ini di Turki, sebelum ini juga pernah dikaitkan dengan perpindahan mahal ke kelab China, Beijing Guoan.