City sekadar menamatkan aksi 0-0 menentang Stoke City di Etihad pada saingan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Keputusan itu menyebabkan City terlepas peluang melangkah ke tangga kedua liga di belakang Chelsea dan kini hanya mampu berada di kedudukan ketiga di bawah Tottenham Hotspur.

Kini City ketinggalan 10 mata daripada pendahulu serta berkongsi 56 mata dengan pasukan tangga kedua Spurs.

Kata Guardiola pasukannya harus segera memperbaiki aksi di laman sendiri biarpun mempamerkan persembahan bagus ketika saingan di tempat lawan.

“Keputusan kami ketika aksi di tempat lawan adalah lebih baik berbanding di laman sendiri, mungkin pada musim depan sebaliknya akan berlaku dan anda sukar untuk mengawalnya.

“Kami gagal mendapat mata penuh pada perlawanan hari ini dan analisis perlu dilakukan berkaitan cara kami bermain.

“Pada separuh masa pertama perlawanan hari ini kami berdepan masalah untuk mencipta peluang kerana pertahanan mereka amat agresif,” kata Guardiola.

Ketika ini saingan Liga Perdana Inggeris masih berbaki 11 perlawanan lagi dan Chelsea dilihat mempunyai keupayaan untuk meraih gelaran liga namun Guardiola berkata, pasukannya masih mempunyai keupayaan bagi mengatasi Blues.

“Jurang yang ada amat besar dan kami tetap fokus pada setiap perlawanan yang kami hadapi.

“Selepas empat atau lima perlawanan kita akan lihat di mana kedudukan kami nanti.

“Ketika ini kami dibezakan dengan 10 mata dan apabila jurang tersebut terlalu besar sebegini pasti sukar untuk kami fokus dengan sasaran yang lebih besar lagi tetapi kami akan berusaha mengatasinya,” kata Guardiola.