Pemain kebangsaan Gabon itu, yang tenggelam ketika pasukannya kalah 0-1 dalam pertemuan pertama apabila dia melepaskan banyak peluang terbuka dan sepakan penaltinya diselamatkan, kembali kepada prestasi terbaiknya dalam perlawanan ini.
Dia menjaringkan gol pembukaan pada minit keempat dan kemudian menambah pada minit ke-61 dan 85, selepas Christian Pulisic menjaringkan gol kedua perlawanan pada minit ke-59, untuk membantu juara Eropah pada 1997 itu mara ke suku akhir untuk kali ketiga dalam tempoh 10 tahun.
Ini adalah perlawanan ketiga berturut-turut Aubameyang menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol ketika menafikan harapan Benfica untuk mara ke suku akhir buat kali ketiga dalam tempoh enam musim.
Jurulatih Dortmund, Thomas Tuchel berkata, keyakinan tinggi dalam kalangan pemain menjadi salah satu faktor pasukannya berupaya meraih kemenangan.
“Kami mempunyai keyakinan untuk mendominasi perlawanan pada hari ini terutama pada separuh masa kedua.
“Apabila anda telah melangkah ke suku akhir pasti selepas ini anda mahu melangkah ke separuh akhir pula dan kami akan cuba untuk mencapai apa yang dihajati,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Benfica, Rui Vitoria berkata, pasukannya telah berusaha dengan sebaiknya namun gagal untuk mengekalkan kemenangan seperti diraih pada aksi pertama 14 Februari lalu.
“Kami tidak bermula dengan baik dalam perlawanan hari ini, kami dibolosi terlalu awal. Bagaimanapun kami bermain dengan baik selepas itu,” katanya.